Sunday 18 July 2010

Kesengsaraan Mereka



"KAMI tidak makan sejak tiga hari lalu." Kata-kata seorang penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Tal Al Sultan di Rafah masih terngiang-ngiang di telinga Dr. Jamnul Azhar Mulkan.

Biarpun kejadian itu berlaku lebih setahun yang lalu, namun jawapan kanak-kanak itu membuka matanya terhadap kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Pada masa itu, beliau dan para sukarelawan Misi Keamanan Palestin 2009 sedang melakukan lawatan ke rumah kebajikan yang menempatkan kira-kira 200 orang penghuni.

Jamnul tidak dapat melupakan bagaimana kanak-kanak itu sanggup berbohong di hadapan sukarelawan bagi menyembunyikan kesengsaraannya.

"Saya bertanya sama ada mereka sudah makan? Rata-rata menjawab sudah, tiba-tiba seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan lima tahun menghampiri saya lalu berbisik mereka tidak makan sejak tiga hari lalu," katanya.

Mendengar jawapan itu, beliau berlari ke kenderaan dan mengambil gula-gula yang sempat dibeli ketika tiba di Mesir.

"Kami hanya mampu memberi mereka gula-gula kerana konvoi makanan telah dihalang memasuki Gaza oleh kerajaan Mesir. Walaupun tidak mengenyangkan namun ia sudah cukup menceriakan mereka," katanya yang terharu mengenangkan peristiwa itu.

Malah Jamnul juga tidak dapat melupakan kata-kata seorang remaja Palestin yang beliau temui ketika cuba menghulurkan sedikit wang kepadanya.

"Kami tidak mahukan wang anda. Apa yang kami mahu ialah sokongan dan bantuan daripada negara-negara Islam untuk membantu perjuangan dan membangunkan semula negara kami," kata seorang remaja yang kecewa dengan nasib mereka yang diperkotak-katikkan oleh rejim Zionis Israel.

Serangan besar-besaran

Perbualan singkat dengan remaja itu membuka matanya terhadap realiti kehidupan yang dilalui oleh masyarakat Palestin lebih-lebih lagi memikirkan masa depan anak-anak yatim di rumah itu yang hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan.

Bercerita mengenai misi yang dijalankan oleh Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) pada 21 Januari 2009 itu membawa pelbagai barangan asas seperti makanan dan perubatan untuk rakyat di wilayah yang mengalami krisis kemanusiaan selepas dikenakan sekatan oleh rejim Zionis sejak Hamas memenangi pilihan raya pada tahun 2006.

Ia disertai kira-kira 13 sukarelawan, petugas media termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha. Rombongan tersebut tiba selepas serangan besar-besaran rejim itu yang mengorbankan kira-kira 1,400 orang rakyat Palestin dan 13 warga Israel.

Biarpun berdepan dengan kerenah birokrasi yang ketat ketika tiba di pintu masuk sempadan termasuk terpaksa menunggu hampir lapan jam, para sukarelawan akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke Gaza.

Menceritakan saat sukar di sana, beliau bersama sukarelawan lain terlibat dalam pembedahan bagi menyelamatkan mangsa perang di Hospital Darul Syifa di Gaza.

"Semua wad penuh dengan mangsa pengeboman tapi kepakaran doktor dan peralatan tak cukup, banyak pesakit tak dapat melepasi sempadan kerana ditahan dan terpaksa duduk dalam ambulans selama dua hari sebelum dihantar ke hospital," katanya.

Kekejaman rejim Zionis jelas terserlah apabila menjadikan orang awam sebagai mangsa malah mereka juga menggunakan peluru fosforus putih bagi menghancurkan pejuang Hamas.

Apabila kelongsong peluru dikeluarkan fosforus putih yang terdedah kepada oksigen akan terbakar sehingga mengakibatkan daging dan kulit pesakit luruh dengan sendirinya.

Mengakui pertama kali berhadapan situasi itu, pakar perubatan terpaksa menggunakan air zam zam untuk memadamkan api pada luka berkenaan dan mengurangkan penderitaan pesakit.

"Kesudahannya ialah kaki atau tangan pesakit terpaksa dipotong, mereka yang cedera parah pula rata-ratanya mempunyai peluang tipis untuk hidup," ujarnya.

Bom hospital

Sepanjang berada di hospital itu, para sukarelawan juga berdepan dengan situasi mencemaskan apabila hospital itu dibom oleh pihak rejim yang mengakibatkan 12 kematian orang awam.

Bagaimanapun kesemua mereka terselamat dan sempat keluar dari bangunan itu yang menyasarkan sebuah makmal perubatan.

Beliau menambah, tentera Zionis turut bertindak kejam apabila memusnahkan stor makanan milik Persatuan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ladang ternakan dan tanaman yang diusahakan oleh rakyat Palestin dengan kereta kebal.

"Ini merupakan taktik halus mereka bagi memastikan rakyat Palestin yang dikenakan sekatan sebelum ini terputus bekalan makanan.

"Pada masa yang sama, bekalan air bersih juga sering terputus menyebabkan mereka terpaksa menggali air bawah tanah bagi mendapatkan sumber berkenaan," ujarnya yang kagum dengan perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah luntur.

Perbualan beliau dengan Pengarah Hospital Darul Syifa, Dr. Jaafar Abd. Tayib ketika itu menemukannya dengan satu fenomena luar biasa sebagai bukti kekuasaan Allah.

Beliau diberitahu sebelum serangan besar-besaran pada Disember 2008, kadar kelahiran di Gaza mencatatkan pe ningkatan iaitu sekitar 3,000 hingga 4,000 orang setahun.

"Bagaimanapun pada Januari 2009 kadar kelahiran yang dicatatkan menyamai jumlah dalam tempoh setahun, malah rata-ratanya pula ialah bayi lelaki.

"Ia merupakan satu keajaiban, kita tahu bayi-bayi lelaki ini akan membesar dan kemudiannya bakal menjadi pejuang seperti pejuang-pejuang lain yang mati syahid dalam mempertahankan negara mereka," katanya.

Bagaimanapun, para sukarelawan terpaksa keluar dari Gaza berikutan ancaman tentera Israel yang dikatakan mahu memusnahkan terowong yang menghubungkan Palestin ke Mesir.

Walaupun berat hati, mereka terpaksa mengambil keputusan yang menyedihkan itu atas dasar keselamatan kerana mendapat perkhabaran Israel mula menyerang kawasan sempadan.

"Biarpun perjalanan kami agak singkat, pengalaman yang dilalui cukup menginsafkan, apa yang lebih penting kami mahu menyampaikan kekejaman yang berlaku kepada masyarakat di luar sana," katanya.

info: kosmo

Monday 5 July 2010

Penipuan Israel



WARTAWAN Belgium, Michel Collon, menggunakan bukunya, ‘Israel, let’s talk about it’ (Israel, mari kita berbicara mengenainya) untuk mendedahkan bagaimana laporan media Eropah melakukan penipuan berdekad-dekad dalam usaha mereka menyokong kewujudan negara haram Israel.
Dalam buku itu, Collon menyenaraikan 10 penipuan besar disebarkan media Barat bagi menjustifikasi penubuhan negara Israel serta menghalalkan tindakan negara Zionis itu.


Penipuan itu adalah: 1. Penubuhan Israel adalah sebagai reaksi terhadap pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.


Hakikatnya, kata Collon, projek mewujudkan Israel itu diluluskan Kongres Zionis Pertama di Basel, Switzerland, pada 1897.


Dalam persidangan itu, pemimpin Zionis memutuskan untuk menakluk Palestin bagi menyediakan ruang untuk mereka membangunkan Israel.


Untuk makluman, Perang Dunia Kedua berlaku di antara 1939 hingga 1945.


2. Untuk menghalalkan penghijrahan besar-besaran ke Palestin, Yahudi mendakwa wilayah itu adalah warisan mereka selepas diusir pada tahun 70 Masihi.


Kata Collon, data itu hanyalah rekaan semata-mata.


“Saya bercakap dengan beberapa sejarawan terkenal Israel, termasuk Shlomo Sand, yang percaya peristiwa penghijrahan beberapa abad silam tidak pernah berlaku.


“Penduduk Palestin tidak pernah meninggalkan kawasan mereka pada zaman purba.


“Justeru, kedatangan mereka ke Palestin kononnya untuk menduduki tanah warisan tidak berasas sama sekali,” katanya.

Menurut Collon, Yahudi yang mendesak mahu pulang ke ‘tanah asal’ mereka di Palestin sebenarnya berasal dari Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.


Memetik pendapat Sand, Collon berkata, sebenarnya isu negara Yahudi tidak wujud sama sekali kerana bangsa itu yang berada di pelbagai negara tidak memiliki persamaan sejarah, bahasa atau budaya.


“Satu-satunya persamaan mereka adalah agama, tetapi agama bukan asas membina negara,” katanya.


3. Penipuan ketiga ialah dakwaan kononnya Palestin tidak didiami sesiapa ketika Yahudi mula-mula mendudukinya.

Kata Collon, ada beberapa dokumen dan bukti menunjukkan produk pertanian Palestin dieksport ke luar negara pada abad ke-19.


Katanya, Perancis adalah antara negara yang mendapat manfaat daripada produk pertanian Palestin pada abad itu.


4. Ada pihak mendakwa warga Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela.


“Ini satu lagi penipuan,” kata Collon.


Menurut wartawan itu, memang ramai pihak percaya kepada dakwaan palsu berkenaan.


Malah, katanya, pada peringkat awal dia sendiri yakin terhadap tuduhan itu, sehinggalah dia bertemu sejarawan Israel, seperti Benny Morris dan Ilan Pappe.


“Kata Morris dan Pappe, warga Palestin dihalau dan dilarang kembali melalui kekerasan dan keganasan,” katanya.


5. Israel didakwa satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah dan wajib dipertahankan.


Kata Collon, Israel sebenarnya bukan saja negara melanggar undang-undang, malah satu-satunya negara yang tidak dibatasi mana-mana peraturan bagi menjelaskan sempadannya.


“Semua negara di dunia ini memiliki perlembagaan yang menyatakan had batasan masing-masing tetapi tidak bagi Israel.


“Negara itu wujud hasil projek perluasan wilayah yang tidak mengenal batasan dan undang-undangnya amat rasis,” katanya.


Melalui peraturan diguna pakai Israel, kata Collon, negara itu khusus untuk Yahudi dan individu bukan daripada bangsa itu dilihat sebagai ‘bukan manusia’.


“Ia amat bercanggah daripada demokrasi,” katanya.


6. AS didakwa cuba melindungi demokrasi di Timur Tengah melalui Israel.


Pada masa sama, kata Collon, semua pihak tahu AS menyalurkan dana ke Israel sehingga RM9.7 bilion setahun.


“Wang itu digunakan untuk menyerang negara jiran Israel,” katanya.


AS, kata Collon, sebenarnya hanya berminat memastikan aliran petroleum di rantau itu tidak terganggu.


7. AS kononnya berusaha mencapai persetujuan di antara Israel dan Palestin.


“Ia bohong sama sekali,” kata Collon.


Bekas Ketua Dasar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana, pernah memberitahu Israel bahawa negara itu adalah anggota ke-21 EU.


Industri senjata Eropah juga bekerjasama dengan Israel dan menyokong mereka secara kewangan.


Bagaimanapun, kata Collon, apabila warga Palestin memilih kerajaan mereka secara demokratik, Eropah enggan mengiktirafnya, malah memberi lampu hijau kepada Israel menyerang Gaza.


8. Menganggap mana-mana pihak yang mempertikaikan sejarah Israel sebagai anti-Semit.


Sebenarnya, kata Collon, hujah itu digunakan bagi menutup mulut pihak yang cuba mendedahkan tembelang Israel.


“Apabila kita mengkritik Israel, ia bukan semangat anti-Semit, tetapi mengecam dasar kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan hak dan taraf di antara Yahudi, Kristian dan Islam.


“Ia juga memusnahkan keamanan di antara pengikut pelbagai agama,” katanya.


9. Media massa mendakwa Palestin punca keganasan.


Sebaliknya, kata Collon, penjajahan Israel itulah keganasan sebenar kerana mereka merampas tanah dan kediaman penduduk yang berhak.


10. Isu sering dibangkitkan kononnya tiada jalan penyelesaian di antara Israel dan Palestin.


Hakikatnya, kata Collon, penyelesaian boleh dicapai.


“Kita cuma perlu memberi tekanan ke atas sekutu Israel di AS dan Eropah serta rantau lain di seluruh dunia,” katanya.


Bagi Collon, tekanan umum terhadap media massa yang enggan melaporkan kebenaran juga boleh menyumbang kepada penyelesaian sebenar di Timur Tengah.


“Menggunakan Internet atau media lain, marilah kita sama-sama melaporkan berita sebenar mengenai Palestin,” katanya. - Agensi

sumber:harian metro